Tukar agama: PAS kata tak wajar minta pendiriannya

Post Pic

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS terus mengelakkan diri daripada polemik yang timbul berhubung pindaan Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan pertukaran agama kanak-kanak kepada agama Islam.Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin berkata tidak sewajarnya soalan sama ada pindaan itu wajar atau tidak dihalakan kepada parti itu tetapi sebaliknya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab dan menjelaskannya kepada rakyat.

Ini kerana menurut beliau, Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 digubal kerajaan pusat dan ia tidak sewajarnya melibatkan parti itu.

“Undang-undang ini dibawa oleh kerajaan, saya rasa kerajaan patut jawab perkara ini dan bila kerajaan tarik balik menunjukkan kerajaan tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat tentang isu ini.

“Ini PAS tidak terlibat, ini melibatkan kerajaan jadi saya rasa sebarang keputusan dibuat kerajaan maka kerajaan yang harus jelaskan dan kami pihak PAS tidak wajar dilibatkan dalam perkara ini,” katanya dalam temubual bersama Antarapos.

Tambah wakil rakyat penggal pertama ini, desakan pemimpin BN agar PAS menyatakan pendirian adalah tidak wajar kerana ia bukan dicadangkan oleh parti itu.

Justeru kata Ahli Parlimen Sepang ini, tiada keperluan untuk PAS membincangkan dan meneliti rang undang-undang berkenaan selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penarikan undang-undang selepas mendapat bantahan banyak pihak.

Katanya, PAS hanya akan menyatakan pendirian berhubung perkara itu sekiranya rang undang-undang itu dibentangkan semula oleh pihak kerajaan

“Akta ini telah ditarik balik, jadi kita tak perlu nak bincanglah…kita nak bincang benda yang tiada nak buat apa.

“Itu tunggu, kalau ia dibentangkan semula baru kita buat pendirian,” katanya.

Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dua minggu lalu menetapkan persetujuan satu pihak memadai bagi ibu atau bapa menukar agama anak-anak bawah umur kepada agama Islam.

Pindaan tersebut menerima kritikan hebat daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini, pelbagai pihak gesa kerajaan mempertimbangkan hak ibu atau bapa untuk mengizinkan anak yang berusia bawah 18 tahun memeluk agama Islam seperti terkandung dalam Seksyen 107(b) rang undang-undang itu.

Kaji semula sebelum dibentangkan dalam Dewan Rakyat

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata perbezaan bercanggah yang diberikan oleh pihak kerajaan mengundang pelbagai persoalan tentang status keputusan pindaan rang undang-undang itu.

“Sebelum tarik balik ia sendiri sudah tiada ketentuan, satu kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa sudah ada keputusan di peringkat Kabinet pada 2009 iaitu mesti mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak (ibu dan bapa).

“…tiba-tiba rang undang-undang yang dibentangkan hanya untuk mendapat persetujuan salah seorang, jadi timbul satu perkara yang sangat bercanggah antara rang undang-undang dan keputusan Kabinet,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini, kemungkinan proses pembentangan rang undang-undang itu dibuat tanpa merujuk kepada keputusan Kabinet sehingga menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat.

Justeru beliau meminta agar kerajaan mengkaji dan meneliti semula rang undang-undang itu sebelum dibawa untuk pembentangan dalam Dewan Rakyat.

“Saya nak katakan bahawa pembentangan rang undang-undang itu selalu dibuat tanpa merujuk kepada keputusan Kabinet dan satu tindakan yang saya fikir (menunjukkan) pengurusan pentadbiran yang sangat lemah.

“Khususnya bagi pihak peguam negara ini saya fikir ini menunjukkan kelemahan di peringkat Jabatan Peguam Negara tanpa menyemak kepada keputusan Kabinet dan akhirnya timbul krisis dalaman BN sehingga memaksa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin (Yassin) tarik balik rang undang-undang itu.

“Jadi kami tidak boleh buat apa-apa pendirian, saya minta kerajaan bincang dulu secara masak sebelum bawa untuk pembentangan,” katanya.

Sumber: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkbpdjZQ=%3D#.Ud68ZrXVgQo.facebook

Mansuhkan undang-undang ‘penjajah’ – Peguam PAS

 

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Post Pic

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin berkata perlaksanaan Akta Hasutan 1948 sudah tidak relevan dan undang-undang yang disifatkan sebagai ‘warisan penjajah’ itu harus dimansuhkan seperti mana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.
Katanya, penggunaan Akta Hasutan 1948 ke atas ‘individu terpilih’ adalah satu pelanggaran terhadap sistem demokrasi di negara ini.
“Akta Hasutan ini adalah akta warisan penjajah, kalau dilihat dari sejarahnya ia diwujudkan oleh British adalah menjustifikasikan untuk mereka mengambil tindakan terhadap orang-orang yang menentang Bristish iaitu golongan yang menentang penjajahan seperti golongan kiri dan golongan agama.
“Jadi salah satu kaedah untuk mengekang kemaraan perjuangan mereka adalah dengan British memperkenalkan akta ini untuk menangkap orang-orang ini sebab mereka kata golongan ini menghasut rakyat supaya lawan British.
“Akta ini kalau kita lihat dah tak relevan lagi sebab itu saya merasakan menteri mencadangkan untuk ia digantikan tetapi cadangan itu dibuat sebelum pilihan raya…jadi kita rasa hairan apabila selepas pilihan raya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kerajaan tidak bersedia untuk hapuskan akta tersebut,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
Dalam pengumuman pada Julai lalu, Najib berkata, Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Najib berkata keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
Undang-undang baru itu menurut Najib tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.
Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam perlembagaan.
Sebelum ini pemimpin Pakatan Rakyat membangkitkan isu pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa Najib menunaikan janjinya yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang dilantik memegang jawatan itu selepas Bariasan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan dalam PRU13, 5 Mei lalu berkata Akta Hasutan 1948 harus dikekalkan berikutan terdapat sesetengah pihak mendesak supaya akta itu dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
Katanya, pemansuhan akta itu hanya akan menyebabkan empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu akan disentuh sesetengah pihak.
Akta Hasutan bukan penyelesaian isu perkauman dan hasutan
Menguls lanjut, Mohamed Hanipa yang juga seorang peguam berkata, jalan penyelesaian untuk menangani isu-isu perkauman, agama dan hasutan bukan menerusi penguatkuasaan Akta Hasutan.
“Ini nampak sangat satu janji yang tidak ditepati, janji yang bohong…macam mana awak  kata nak hapuskan tapi tiba-tiba selepas pilihan raya awak kata lain, sebab itu kalau orang kata BN berbohong BN tidak boleh marah sebab ia berlaku sekarang.
“…dan saya rasa kalau hujah dia kata akta hasutan ini kalau dimansuhkan nanti menyebabkan perkara atau kenyataan yang membabitkan isu perpaduan, kaum dan agama akan terus berlaku.
“Bagi saya untuk menyelesaikan masalah itu bukan dengan meneruskan akta ini sebaliknya ia perlu kepada kematangan rakyat Malaysia berbahas tentang isu-isu ini yang perlu kita pupuk, perlu ada kebebasan dan kematangan,” kata Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang menambah perkara itu akan diberi keutamaan dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Tegas beliau, kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan perkauman pasti akan berlaku walaupun Akta Hasutan tidak dimansuhkan terutamanya apabila ia ditimbulkan pemimpin serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat rasis.
“Kalau kita guna alasan bahawa jika tiada akta ini berlaku hura-hara kerana persengkatan kaum, persoalannya kenapakah perdana menteri sendiri keluarkan kenyataan apa Cina mahu lagi, laporan Bursa Malaysia dan PERKASA seperti kata kita perlu bakar Bible.
“Ini semua kenyataan menunjukkan bahawa kalau ada atau tidak akta ini pun ia tetap akan berlaku…sepatutnya kalau ada akta ini tidak timbul kenyataan Zulkifli Noordin (bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu) yang menghina agama Hindu dan tidak timbul kenyataan nak bakar Bible,” katanya merujuk kepada kenyataan berbaur hasutan yang pernah berlaku sebelum ini.
Justeru kata Mohamed Hanipa, sudah sampai masanya untuk akta tersebut ‘dibuang’ oleh pentadbiran Najib.
“Tapi dengan ada akta ini masih ada lagi kenyataan sebegitu dan tiada tindakan dibuat, jadi pelaksanaan yang didiskriminasikan ini dan janji kerajaan untuk hapuskan menunjukkan akta ini dah tak relevan.
“Saya merasakan akta ini sudah sampai masanya untuk kita buang, adakah akta ini yang menyebabkan berlakunya masalah perkauman atau pihak lain yang menyebabkan ketegangan itu berlaku,” jelasnya lagi.
Putrajaya perlu ajak pembangkang dan pihak berkaitan berbincang
Mengenai Akta Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 menurut wakil rakyat penggal pertama ini, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen memandangkan maklumat mengenai kandungan undang-undang baru itu belum diperoleh.
“Kita diberitahu akan diwujudkan akta baru, Akta Hasutan dihapuskan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional. Kita pun tak boleh nak komen sebab tidak tahu apa bentuk atau kandungan akta tersebut.
“Tapi yang jelas apabila kerajaan dah mengatakan akan hapuskan (Akta Hasutan), bagi saya dari segi undang-undang telah mewujudkan tanggapan kepada rakyat dan sepatutnya kamu (kerajaan) tak kuatkuasakan akta ini tapi dalam keadaan belum dihapuskan mereka-mereka dah ditangkap bawah akta yang sama.
“Malangnya mereka yang ditangkap dilihat kritikal kepada BN, menyokong Pakatan Rakyat. Yang ini kita rasa pelik, sepatutnya bila kata nak hapuskan jangan ada pendakwaan sementara nak hapuskan,” tegasnya.
Mohamed Hanipa turut mencadangkan agar pentadbiran Najib memanggil wakil daripada Pakatan Rakyat dan pihak berkaitan sekiranya serius untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Kalau kerajaan betul-betul serius untuk selesaikan masalah ini kerajaan mesti panggil pembangkang dan pihak lain untuk kita bincangkan tentang perkara ini.
“Dalam zaman terbuka ini kita sudah tak boleh nak sorok isu-isu seperti ini kerana ia isu-isu yang perlu kita berbincang,” katanya.

Hanipa mahu tumpu isu tempatan, pembangunan di Sepang

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Post Pic
KUALA LUMPUR: Wakil rakyat baru di Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menganggap masih terlalu banyak perkara perlu dibangunkan di kawasan itu kerana kawasan itu agak mundur sebagai pintu masuk utama pelancong ke negara ini.
Dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos, Mohamed Hanipa berkata selain membantu membangunkan Sepang, beliau akan menjadi wakil rakyat untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi politik.
“Pertama saya mengucapkan syukur pertama kali PAS dapat menawan Parlimen Sepang, saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk jentera dan pengundi yang mengundi saya. Yang pertamanya saya nak betulkan minda masyarakat bahawa saya adalah ahli Parlimen untuk semua.
“…bukan (ahli Parlimen) untuk orang PAS, PKR atau DAP sahaja, saya harap para pengundi yang tidak mengundi saya supaya tidak berasa risau akan didiskriminasi kerana saya adalah wakil rakyat untuk semua,” katanya dalam pertemuan di bangunan Parlimen.
Pada PRU-13 lalu, Mohamed Hanipa mengejutkan banyak pihak apabila berjaya menumbangkan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed serta dua calon Bebas.
Mohd Zin memperoleh 35,670 undi manakala Mohamed Hanipa mendapat 36,774 undi.
Sementara calon Bebas bagi kerusi itu, Hanapiah Mohamad dan Suhaimi Mohd Ghazali, masing-masing mendapat 318 undi dan 963 undi.
Dalam pertemuan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini meletakkan harapan tinggi agar kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor dapat membangunkan lebih banyak infrastruktur di kawasan itu terutamanya dari aspek pelancongan.
Jelas beliau, banyak kawasan pelancongan yang menarik di Sepang namun ia belum diterokai dan dibangunkan.
“Saya dalam tempoh dua tiga bulan ini saya akan turun padang untuk mengenali lebih dekat masyarakat di Sepang dengan menghadiri program dianjurkan tapi yang lebih besar saya harapkan Sepang ini ada satu pembangunan yang pesat dari segi infrastruktur dan pembangunan fizikal.
“Kerana ia lokasi yang strategik memandangkan ia pintu masuk utama pelancong, saya rasa banyak kawasan di Sepang ini masih belum diterokai terutamanya kawasan peranginan seperti Batu Laut serta Bagan Lalang dan ini adalah kawasan yang sepatutnya dimajukan.
“Saya mengharapkan Kementerian Pelancongan dapat memajukan kawasan ini,” katanya yang pernah bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada 2008 namun tewas kepada penyandang kerusi itu Datuk Seri Noh Omar yang mewakili BN.
Isu perumahan dan kerohanian juga diberi tumpuan
Selain itu jelas beliau, masalah tempatan terutamanya isu perumahan turut menarik perhatiannya kerana banyak aduan telah dikemukakan dari aspek kualiti rumah.
Tambah wakil rakyat PAS ini, pembangunan kerohanian juga perlu dibangunkan di peringkat sekolah dengan tujuan memantapkan rohani pelajar.
“…dan juga saya dapati isu-isu perumahan di mana banyak aduan dikemukakan kepada saya seperti tahap kualiti rumah seperti retak serta mendap, ini antara perkara yang saya rasa perlu ketengahkan.
“Dan saya juga mengharapkan pembangunan rohani sebab itu saya minta kerajaan negeri Selangor dapat memainkan peranan untuk membangunkan pembangunan rohani ini.
“Sebagai contoh exco agama kerajaan negeri Selangor beritahu kepada saya bahawa mereka bercadang untuk menubuhkan maahad tahfiz sains di situ dan ia salah satu perkara yang boleh memantapkan rohani pelajar-pelajar,” katanya.
Jelas Mohamed Hanipa, tumpuan utama harus diberikan terhadap pembangunan di Sepang agar ia dilihat sepadan dengan kedudukannya.
“Kita mahu kedudukan Sepang itu betul-betul menggambarkan satu tempat yang strategik dan pembangunan di Sepang itu sesuai dengan kedudukannya,” katanya lagi.
Parlimen Sepang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek. DUN Tanjong Sepat dan Sungai Pelek dimenangi Pakatan Rakyat sementara Dengkil menjadi milik BN menerusi Shahrum Mohd Sharif.
Pada PRU13, Pakatan yang dianggotai PAS-PKR-DAP mengekalkan kuasa di Selangor setelah memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN Selangor manakala BN pula memenangi 12 kerusi DUN.
Bagi kerusi Parlimen, kedua-dua pihak Pakatan dan BN mengekalkan jumlah kerusi yang sama yang dimenangi pada 2008.
Pakatan menguasai 17 kerusi Parlimen iaitu PKR memenangi sembilan kerusi manakala DAP dan PAS masing-masing memenangi empat kerusi.
BN pula memenangi lima kerusi Parlimen iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Perlu kerjasama semua ADUN termasuk wakil rakyat BN
Bagi memastikan perancangan itu dapat dilaksanakan, Mohamed Hanipa tanpa mengetepikan DUN Dengkil berkata kerjasama dari semua wakil rakyat di peringkat penting agar usaha-usaha membantu rakyat berjalan dengan lancar.
Tegas beliau, walaupun berbeza idealogi politik ia tidak sepatutnya menjadi penghalang antara satu sama lain terutamanya dalam isu-isu berkaitan rakyat seperti perumahan, masalah tempatan dan sebagainya.
“Di Sepang ini tiga DUN, dua DUN kita menang iaitu di Sungai Pelek dan Tanjung Sepat. Saya merasakan walaupun di Dengkil kita tak menang dimenangi oleh BN tapi saya percaya calon BN juga YB Sharum tidak menolak bahawa perlunya Sepang itu dibangunkan.
“Saya rasa tak sepatutnya dari segi isu pembangunan kita ada masalah dari segi perbezaan fahaman politk sebagai contoh macam baru-baru ini bila berlaku keretakan rumah pangsa di Taman Permata, Dengkil di mana saya turun ke sana dan saya juga dapati YB Sharum juga berada di sana.
“Saya dapati ini antara isu-isu yang kita boleh ketepikan ideologi politik untuk membangunkan Sepang sebab bagi saya perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita bekerjasama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya.
Mengulas lanjut, jelas beliau usaha tersebut agak mudah ekoran kerajaan negeri Selangor kekal di bawah Pakatan dan urusan dengan jabatan kerajaan peringkat negeri tidak memberikan sebarang masalah atau halangan.
“Dan alhamdulillah bila kita menang (Parlimen Sepang), kita juga menang di peringkat negeri Selangor, jadi agak mudah untuk berurusan dengan jabatan kerajaan yang libatkan negeri khususnya dan saya dapat memberikan pandangan-pandangan saya.
“Jadi saya rasa kalau masing-masing dapat memainkan peranan dengan baik, saya rasa Sepang dapat dimajukan dengan lebih baik dan saya mengharapkan kerajaan pusat tidak mendiskriminasikan Sepang kerana dimenangi Pakatan Rakyat,” katanya.